Sadio Mane. Foto Daily Star.
Sadio Mane. Foto Daily Star.

LONDON – Liverpool terus berdepan siri kecederaan dalam kalangan pemainnya apabila penyerang berbisa, Sadio Mane menjalani pembedahan tangan semalam.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, kecederaan menimpa pemain antarabangsa Senegal ketika perlawanan antarabangsa pada aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika, kelmarin.

Akibat kecederaan itu, dia terlepas aksi ketika menang 1-0 ke atas Sudan.

Pengurus Jurgen Klopp kini dalam dilema apabila dua lagi tonggak utama Liverpool, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk turut dibelenggu kecederaan.

Ini kerana Mane bakal terlepas aksi menentang Huddersfield Town pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu ini.

“Kelab Bola Sepak Liverpool mengesahkan Sadio Mane menjalani pembedahan tangan akibat kecederaan yang diperolehinya ketika mewakili Senegal.

“Pembedahan itu yang dilakukan di sebuah hospital di barat laut dan dipantau oleh pasukan perubatan kelab telah berjalan dengan lancar,” kata kelab itu.

Sementara itu, pemain tengah Liverpool Naby Keita turut bergelut dengan kecederaan otot ketika Guinea seri 1-1 dengan Rwanda pada Selasa.

Salah pula terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pangkal paha ketika Mesir menundukkan Swatini 4-1 di Kaherah pada Jumaat lalu.

Van Dijk pula masih mengalami kecederaan yang dialami ketika menentang Southampton bulan lalu.

Liverpool yang kini menduduki tangga ketiga berusaha untuk mengekalkan rekod tanpa kalah pada aksi EPL ketika berkunjung ke Huddersfield Town, Sabtu ini. – MalaysiaGazette