Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Jangkaan peningkatan defisit lebih tinggi sehingga tiga peratus pada tahun 2020 yang diumumkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 bermakna kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah merancang untuk lebih banyak meminjam.

Datuk Seri Najib Razak berkata, bagaimana hendak mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion yang kerajaan PH sering sebut jika terus meminjam dan akan meminjam dengan lebih banyak untuk menampung defisit yang dinaikkan.

Lantaran itu beliau mempersoalkan adakah langkah yang diambil itu bermakna strategi PH untuk menyelamatkan negara dan mengurangkan hutang ialah dengan mengurangkan kadar pelaburan, kadar pertumbuhan ekonomi dan menaikkan hutang negara.

“Ini matematik ataupun rancangan ekonomi jenis salah titik perpuluhan hantam sahaja ke?” soal bekas Perdana Menteri itu.

Malah, Najib secara sinis menyatakan rasa pelik apabila kerajaan PH dalam Kajian Separuh Penggal menyatakan ekonomi Malaysia adalah baik untuk 2016 dan 2017.

Ini kerana, selama beberapa tahun lalu, PH sendiri berulang-kali mendakwa Malaysia sudah hancur dan berada dalam krisis.

Kajian itu juga, kata Najib, mengesahkan hutang kerajaan ialah pada tahap RM688 bilion pada akhir tahun 2017 manakala nisbah hutang dan defisit kerajaan di bawah BN juga menurun setiap tahun sehingga 2017.

Beliau turut mempersoalkan bagaimanapun selepas mengambil alih kerajaan, PH sudah mengubah sasaran RMK11, yang unjuran pertumbuhan ekonomi setiap tahun telah direndahkan kepada 4.5 peratus hingga 5 peratus berbanding 5 peratus hingga 6 peratus sebelum ini.

“Kadar dan jumlah pelaburan swasta dan kerajaan juga dirancang untuk berkurang pada tempoh ini,” katanya. – MalaysiaGazette