Kontena-kontena yang dijadikan sebagai rumah kongsi pekerja musnah ekoran kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong . Kerja-kerja mencari mangsa tertimbus giat dijalankan pada hari kedua kejadian. --fotoBRERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

GEORGE TOWN- Walaupun sedih namun kasih seorang bapa sanggup bekerjasama dengan pasukan penguat kuasa berjaya mengeluarkan mayat anak sendir yang menjadi mangsa di tapak tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong semalam.

Asman Hamid, 62,  menarik mayat anak ketiganya, Samsul, 19, daripada timbunan tanah ketika turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa tanah runtuh di kawasan itu.

Kisah itu dikongsi oleh ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramsiah seperti laporan portal Front Desk hari ini.

“Bapanya (Asman) turut bersama-sama polis dan bomba ketika mencari anaknya. Dia turut tanggalkan kasut dan korek tanah kemudian tarik Samsul dari tanah itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Ramsiah berkata sebaik sahaja menarik jasad itu dari timbunan tanah, Asman terus cam yang batang tubuh itu adalah anaknya.

“Mereka (Asman dan isteri) kemudian menaiki trak polis bersama-sama jasad Samsul ke hospital, ” katanya.

Ramsiah berkata keluarganya membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah Samsul ke Indonesia setelah proses bedah siasat selesai.

Jenazah akan dibawa pulang menerusi penerbangan dari Pulau Pinang ke Jakarta seterusnya Makasar, Kendari dan dari Kendari, jenazah akan dibawa menaiki pengangkutan darat untuk sampai ke Buton, katanya.

Semalam,  Asman dan isterinya tiba di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP  pada 6.20 petang. Asman tiba di hospital tanpa memakai kasut serta terdapat kesan selut pada pakaiannya akibat turut serta dalam proses mencari anaknya.

Sementara itu. Asman berkata beliau menerima panggilan daripada salah seorang rakan anaknya yang meminta beliau bergegas ke tempat kejadian.- MalaysiaGazette