Tan Sri Abdul Aziz Abd Rahman
Peguamcara dan Bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abd Rahman berucap pada Forum Tergempar Kekalkan Akta Hasutan di Menara Arena Uniti, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Akta Hasutan 1948 tidak boleh dimansuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen melainkan ia mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

Pakar undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Abd Rahman berkata, ini kerana akta berkenaan membabitkan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin beberapa isu sensitif yang tidak boleh dipinda.

“Di situ ada klausa 10(4) dan 3 dan 4 yang kita kata tidak boleh menyoalkan perkara yang sensitif di mana ia tidak boleh dipinda melainkan dapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Sebelum masuk Parlimen,terlebih dahulu hendaklah ada persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.

“Saya terkejut bila usaha mansuhkan akta ini timbul kali kedua,” katanya berucap pada Forum Tergempar Kekalkan Akta Hasutan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Medan Arena Unit, Kampung Baru di sini hari ini.

MGF20102018_FORUM TERGEMPAR KEKALKAN AKTA HASUTAN10
Peguamcara dan Bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abd Rahman berucap pada Forum Tergempar Kekalkan Akta Hasutan di Menara Arena Uniti, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2018

Abdul Aziz  juga berkata, usaha untuk menghapuskan Akta Hasutan bukan kali pertama dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan hari ini iaitu PH bahkan ketika pemerintahan lepas.

“Datuk Seri Najib Razak semasa beliau jadi Perdana Menteri, ada buat kenyataan Akta Hasutan. Bila saya baca surat khabar saya terkejut dan saya bawa perkara ini kepada Majlis Raja-Raja.

“Majlis Raja-Raja pula memberi penjelasan. Ketika itu saya dan Tun Hanif menghadap Majlis Raja-Raja dan memberi penjelasan dan Datuk Seri Najib, Tan Sri Ghani Patail dan Ketua Polis Negara ada di situ.

“Saya beri penjelasan tentang undang-undang dan Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan minta jangan batal itu (Akta Hasutan),” katanya.

Katanya lagi, Akta Hasutan hanya boleh dipinda atau dimansuhkan di Parlimen dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong meskipun kerajaan mendapat dua pertiga undi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Sebelum masuk Parlimen pun kena dapat perkenan Majlis Raja-Raja. Saya harap perkara ini (pemansuhan) tidak dibawa ke Parlimen dan kalau lulus, kita kena ambil tindakan mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette