Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian kanak-kanak yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat Bijak Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sedang berbincang dengan pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) berhubung isu kenaikan yuran pengajian baru baru ini.

Menterinya Dr. Maszlee Malik berkata, beliau sedia maklum mengenai isu kenaikan yuran pengajian pelajar oleh UM.

Pelajar UM telah menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan universiti awam itu menaikkan yuran pengajian untuk pelajarnya.

“Saya maklum perkara itu dan sedang berhubung dengan UM. Cuma beberapa perkara berkaitan dengan universiti awam, mereka mempunyai autonomi berkaitan yuran.

“Saya akan berhubung dengan pihak UM untuk berbincang (kenaikan yuran),” katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat Bijak Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) petang tadi.

Sebelum ini sekumpulan pelajar UM mendakwa kenaikan yuran pengajian itu dilalukan tanpa sebarang notis pemberitahuan awal atau surat pekeliling kepada mahasiswa dan mahasiswi.

Kumpulan pelajar yang dikenali sebagai Suara Siswa yang mewakili pelajar pelbagai fakulti pengajian mendakwa kenaikan yuran berlaku sebanyak RM50 untuk pelajar tempatan dan RM3,000 untuk pelajar luar negara.

Mereka mengesyaki berlaku perlanggaran kontrak dan difahamkan universiti memerlukan pemotongan bajet tetapi ia tidak seharusnya ditekan ke atas pelajar.

UM juga didakwa gagal membalas memorandum mewakili 6,000 pelajar yang diserahkan kepada pentadbiran UM sebelum Unit Komunikasi Korporat institusi pengajian tinggi itu tampil menjelaskan segala isu dan soal kebajikan pelajar akan diberi pertimbangan sewajarnya.

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, Maszlee turut diminta mengulas mengenai rungutan ibu bapa yang mengkritik silibus buku Bahasa Teknologi Baharu dan Komunikasi bagi murid tahun empat yang didakwa mempunyai bahasa alien seperti perkataan joystick.

“Itu kena tanya Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) sebab saya rasa DBP mungkin mempunyai standard bahasa, jadi elok juga tanya mereka,” kata Maszlee.-MalaysiaGazette