GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini disambung hari ini.

Ketua Cawangan Operasi Kebombaan dan Penyelamat Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Putrajaya Morni Mamat berkata operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini bermula pada pukul 8 pagi.

Beliau berkata operasi SAR memberi tumpuan kepada ‘body recovery’ dan pihaknya tidak menjangkakan ada mangsa yang selamat berdasarkan kedalaman tanah.

“Kita akan teruskan operasi SAR pada hari ini yang terbahagi kepada tiga sektor dengan jaraknya kira-kira 50 meter dari lokasi runtuhan berdasarkan kepada tempat penemuan tiga mayat yang telah ditemui. Kami mengharapkan dengan keadaan cuaca yang baik pada hari ini baki mangsa yang tertimbus dapat dijumpai secepat mungkin.

“Setakat 1.30 pagi ini kita telah temui empat mangsa iaitu tiga telah meninggal dunia manakala seorang cedera,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Morni berkata operasi SAR dihentikan pada pukul 4.45 pagi ini berikutan hujan lebat.

Beliau berkata pihaknya mengalami sedikit kesukaran untuk mencari baki mangsa yang tertimbus kerana struktur tanah yang lembut dan boleh membahayakan usaha pencarian anggota penyelamat.

“Bagaimanapun dengan bantuan alat pengesan pergerakan yang dibawa oleh pasukan SMART dan anjing pengesan K9 kita berharap dapat membantu kita dalam kerja-kerja mencari baki mangsa yang tertimbus,” katanya.

Katanya seramai 143 anggota penyelamat daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi SAR.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian itu ialah sembilan orang membabitkan tiga mangsa meninggal dunia, tiga cedera dan tiga lagi masih tertimbus.

Beliau berkata tiga mangsa yang masih tertimbus adalah dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh.

“Tiga mangsa yang hilang ini kita dah sahkan melalui kawan-kawan dan isteri bahawa mereka ini hilang, yang lain kita tak dapat sahkan. Jangan buat spekulasi berapa (jumlah) sebenarnya. Kita tak boleh tentukan berapa jumlah sebenarnya.

“…seperti kita ketahui kejadian pada hari Jumaat. Sebahagian besarnya mungkin pergi solat Jumaat dan selepas kejadian ini mungkin mereka tak balik semula selepas mengetahui ada kejadian macam ini. Jadi kita menunggu daripada kawan-kawan dan saudara-mara untuk menelefon kita atau datang memberitahu kita apakah status keluarga mereka yang hilang,” katanya.

Che Zaimani berkata pihaknya akan membuat pembersihan di kawasan runtuhan untuk mencari sekiranya masih ada lagi mangsa yang tertimbus.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan tiga pekerja asing maut, tiga cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Petang semalam dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35, manakala mayat Khin Aye Khaing, 33, wanita Myanmar ditemukan pukul 1.30 pagi ini.- BERNAMA