KUALA LUMPUR – Pembelian model terbaharu kereta Volvo untuk kegunaan rasmi dilakukan dengan kaedah tukar beli (trade in) dengan beberapa kenderaan lama, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau yang mempertahankan tindakannya menggunakan kereta tersebut menjelaskan bahawa harga kereta Volvo yang dibeli itu tidak tinggi.

“Setelah diperiksa, terdapat beberapa kenderaan lama tidak digunakan sebab rosak, yang didaftarkan bawah pejabat Menteri Besar, saya buat keputusan lupuskan kenderaan itu secara trade in dan diganti kereta baru.

“Sebab itu harganya tak terlalu mahal walaupun ia kereta hibrid. Ini juga menunjukkan kerajaan negeri prihatin isu alam sekitar dan cuba kurangkan penggunaan minyak dan pencemaran udara,” beliau dilaporkan sebagai berkata sebuah portal berita.

Mukhriz juga mempertahankan penggunaan kereta jenama asing dengan menyatakan pemasangan komponen kereta itu dilakukan dalam negara.

Harga terbaru Volvo S9 T8 ialah RM368,888 manakala model S90 T8 dijual pada harga RM388,888, tidak termasuk insurans dan kos penyelenggaran berkala. -MalaysiaGazette