KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am Batalion 7 (PGA7) menahan tiga lelaki dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver 0.22 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bagus, Rantau Panjang Khamis lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam serbuan pukul 11.15 malam itu, selain menahan tiga suspek berusia antara 33 dan 41 tahun itu, sejumlah dadah disyaki syabu turut dijumpai dalam rumah itu.

“Pemeriksaan dalam bilik utama rumah itu polis berjaya menemui sepucuk pistol bersama dua butir peluru hidup yang disembunyikan di bawah sebuah meja,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah manakala seorang lagi tiada rekod dan mereka direman selama lima hari sehingga Selasa ini untuk siasatan.

Katanya sejak Januari lepas hingga semalam, sebanyak 22 senjata api berjaya dirampas polis Kelantan berbanding hanya 18 senjata api sepanjang tahun lepas.

Hasanuddin berkata polis menjangkakan akan ada lagi rampasan senjata api di negeri ini kerana kebiasaannya senjata api ini adalah pakej dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Siasatan dalam beberapa kes sebelum ini mendapati kebanyakan pengedar dadah memiliki senjata api,” katanya.

  • BERNAMA