MGF17012013_Sultan Nazrin
Sultan Nazrin Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berharap agar Paskal The Movie mempunyai kesinambungan kedua pada masa akan datang.

Menyifatkan filem itu menarik, baginda terdahulu bersama Tuanku Zara Salim berangkat ke sebuah pusat membeli belah di ibu negara pada malam Sabtu bagi menonton tayangan khas filem tersebut.

“Sangat menarik. Harap selepas ini ada Paskal 2. Beta amat menyukainya,” titah baginda.

Ketibaan baginda berdua kira-kira pada 9 malam disambut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Dilaporkan turut bersama-sama baginda dan permaisuri meluangkan masa menontot filem tentang Pasukan Khas Laut (Paskal) kira-kira 100 penonton termasuk alumni Universiti Strathclyde, United Kingdom.

Sultan Nazrin Shah kemudian berkenan beramah mesra bersama barisan pelakon dan pengarah filem Adrian Teh.

Baginda berdua berangkat pulang meninggalkan majlis pada pukul 11.30 malam.

Filem yang diinspirasikan daripada kisah benar tersebut dijayakan oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambir Saifullah, Theehan G, Hanley Hii dan Jasmine Suraya Chin. – MalaysiaGazette