Datuk Seri Mohamed Ali mendahului pencabar jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan majoriti 775 undi.
Berbaki enam cabang, penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih mendahului pencabarnya Mohd Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti itu.

KUALA LUMPUR – Usai pemilihan di sembilan negeri dengan Selangor berbaki enam cabang, penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih mendahului pencabarnya Mohd Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti itu.

Walaupun mendahului di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis, Mohd Rafizi masih ketinggalan 1,186 undi di belakang Mohamed Azmin dalam keputusan setakat semalam selepas anggota parti di Perlis dan tujuh lagi cabang di Selangor memilih kepimpinan PKR bagi tahun 2018 semalam.

Menurut laman sesawang pemilihankeadilan2018, Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, memperoleh 38,228 undi, manakala Mohd Rafizi memperoleh 37,042 undi.

Jumlah undian ini termasuk keputusan muktamad di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, undi ragu di 16 cabang di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis masih diproses dan keputusan masih belum dimuktamadkan.

Di Melaka, Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dilaporkan sebagai berkata sejumlah 2,000 undi dilaporkan ‘hilang’ membabitkan lima daripada enam cabang dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) masih menyiasat punca masalah berkenaan.

Di Negeri Sembilan, undian di cabang Jelebu masih lagi belum dikira akibat masalah teknikal.

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi JPP, Dr Adzman Hedra berkata, melalui siasatan awal, masalah capaian internet yang lemah ketika undian berlangsung menyebabkan undian itu ‘hilang’ daripada sistem dan tidak dapat dikesan.

“Kita mengetahui undi ini ‘hilang’ apabila jumlah bacaan ‘QR Code’ anggota yang datang mengundi tidak sama dengan jumlah undian yang masuk. Bahagian teknikal JPP masih berusaha mengesan undian ini, dan jika ia gagal ditemui, kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.

Proses pengundian berbaki empat negeri lagi, iaitu Kedah (26 dan 27 Okt), Perak (27 Okt), Sabah (3 dan 4 Nov) dan Sarawak pada 10 Nov.

Sementara itu, pengundian di baki enam cabang Selangor akan dilaksanakan pada 28 Okt.

Mohd Rafizi dan pasukannya yang membawa perjuangan ‘Reformasi 20 Tahun’ semalam dalam satu kenyataan dalam laman twitternya menyatakan keyakinan bahawa proses pemilihan di Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak akan berpihak kepadanya.

“Dengan persaingan di Semenanjung hanya berbaki enam cabang di Selangor berbanding 39 cabang di Perak dan Kedah minggu hadapan, saya yakin #Reformasi20Tahun ada peluang untuk menang di Semenanjung, sebelum pemilihan di Sabah dan Sarawak bermula dalam bulan November.

“ Saya juga optimis sokongan di Sabah dan Sarawak akan berpihak kepada #Reformasi20Tahun,” katanya. – MalaysiaGazette