PKR
MELAKA – Kedudukan keputusan pemilihan bagi empat cabang PKR di Melaka akan dibawa ke Mesyuarat Biro politik yang akan diadakan di ibu pejabat parti berkenaan pada malam esok.

Jawatankuasa Pemilihan PKR Melaka menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan rasmi pemilihan di empat cabang melibatkan Jasin, Tangga Batu, Masjid Tanah dan Kota Melaka itu masih belum dapat diumumkan akibat masalah teknikal.

Pada Sabtu lepas, pemilihan PKR di Melaka melibatkan seramai 9,387 anggota parti layak mengundi bagi memilih barisan pemimpin di peringkat pusat dan enam cabang di negeri ini.

Pengerusi PKR Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga Timbalan Menteri Industri Utama bertanding Ketua Cabang Jasin, manakala Anggota Dewan Undangan Negeri Klebang Gue Teck bertanding Ketua Cabang Tangga Batu dan Anggota Parlimen Tangga Batu Dr Rusnah Aluai bertanding Timbalan Ketua Cabang sama.

Blogger ‘Ratu Naga’ atau nama sebenarnya, Syarul Ema Rena Abu Samah bakal berdepan saingan tiga penjuru Ketua Cabang Masjid Tanah dengan Abdul Wahab Ibrahim dan Halim Bachik.

Bagi Ketua Cabang Kota Melaka melibatkan pertandingan tiga penjuru iaitu Law Bing Haw, S.Jeyamuralee dan Mohamad Riduwan Md Amin.

Dua lagi cabang bagi Pemilihan PKR di Melaka ialah Alor Gajah dan Bukit Katil. – MalaysiaGazette