KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta memperuntukan sekurang-kurangnnya 10 peratus kontrak kerajaan dan swasta kepada masyarakat India di negara bagi membantu meningkatkan sosio ekonomi kaum tersebut.

Ahli Parlimen Padang Serai (PH), Karupaiya Mutusami berkata, peruntukan dana dalam Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) sahaja sebenarnya tidak mampu menyelesaikan masalah sosiao ekonomi masyarakat India.

Beliau yang membuat cadangan itu memberitahu telah memohon kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy untuk mempertimbangkan peratusan itu sekiranya mahu memperjuangkan nasib golongan ini yang juga merupakan antara penyokong tegar PH.

Cadangan tersebut mendapat reaksi positif daripada Waytha yang merupakan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial untuk di bawa ke peringkat kabinet bagi memutuskan cadangan tersebut.

“Boleh cadangan ini. Cadangan agar peluang kontrak kerajaan dan swasta akan saya bangkitkan pada mesyuarat Kabinet. Kita akan kemukakan cadangan kepada kerajaan dalam masa terdekat,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkara berbangkit yang lain, Waytha yang telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui SEDIC melahirkan harapan agar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memberi agihan peruntukan kepada masyarakat India pada Belanjawan 2019 2 November ini.

“Berdasarkan peruntukan kewangan yang diberi dalam Belanjawan 2019, saya akan memastikan hala tuju SEDIC untuk melaksanakan program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India dipertingkatkan dan mencapai agenda memperkasa kumpulan itu, terutamanya mereka dalam golongan B40.

“Antara perancangan yang telah dikenalpasti dan dalam pertimbangan, termasuklah memperkenalkan program memperkasa wanita India, meneruskan penglibatan B40 dalam agenda pembangunan negara, menggalakkan pemilikan perumahan dan beberapa program lain,” ujarnya.

Tambah beliau, SEDIC kini sedang melalui fasa perubahan drastik dalam usaha memastikan agensi ini sentiasa relevan khususnya kepada masyarakat India di negara ini selepas ini.

Wayta turut membuat pendedahan lebih RM203 juta telah dibelanjakan bagi pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India dari tahun 2014 sehingga 2017. – MalaysiaGazette