Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dinasihatkan supaya bertemu dengan Tun Daim Zainudin berhubung hasratnya untuk membantu kerajaan dalam usaha menjejak ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu boleh berbuat demikian kerana Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu adalah individu yang kini memainkan peranan dan tanggungjawab untuk mendapatkan kembali wang dan juga aset berkaitan 1MDB.

Katanya, meskipun Daim bukanlah individu yang ditugaskan untuk mencari Jho Low namun, maklumat yang diketahui oleh Hishammuddin membantu kerajaan dalam menyempurnakan misi berkenaan.

“Saya ingat dia jumpa Tun Daimlah, sebab Tun Daim antara tugasan beliau ialah mencari aset-aset 1MDB.

“Jadi, lebih baiklah saya nasihatkan dia jumpa dengan Tun Daim Zainuddin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Saifuddin berkata, sebagai bekas menteri Kabinet, Hishammuddin membantu dalam menyalurkan apa-apa maklumat kepada polis dan pihak-pihak lain bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

Semalam, Hishammuddin ketika ditemui media di Parlimen memberitahu, beliau menawarkan diri untuk menjejaki Jho Low yang kini dipercayai berada di China.

Katanya, langkah membawa ahli perniagaan itu ke Malaysia bagi membantu siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hishamuddin menegaskan inisiatif tersebut merupakan kapasitinya sendiri dan bukan kerana diminta oleh Putrajaya.

Terdahulu, Saifuddin menghadiri sesi Forum Perdana yang bertajuk ‘Dunia Melayu dan Islam:Cabaran dan Masa Depan’ yang disampikan oleh Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Forum dihadiri kira 100 peserta yang terdiri daripada pegawai dan juga kakitangan Kementerian Luar. – MalaysiaGazette

Saya akan cari Jho Low sampai lubang cacing – Hishammuddin