Reaksi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman bercakap pada sidang media di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Portfolio Kementerian Luar Negeri nampaknya sering menjadi perhatian kebelakangan ini.

Mungkin kerana ia membabitkan pelbagai dasar penting negara atau mungkin juga kerana teraju baharu yang sering tampil dengan kenyataan ‘mengelirukan’.

Baru-baru ini, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang terkenal dengan karismanya dalam menangani isu luar negara tiba-tiba ‘naik angin’ di Dewan Rakyat.

Beliau lantang menyarankan penggantinya, Datuk Saifuddin Abdullah supaya belajar terlebih dahulu dengan pegawai Wisma Putra sebelum bersuara.

Saranan itu menerima reaksi pelbagai. Ada yang mencemuh, kononnya Anifah tidak boleh terima kenyataan portfolio sudah beralih tangan dan ada juga yang memuji.

Anifah berkata, Saifuddin wajib belajar satu dua hal ehwal Wisma Putra supaya tidak memberi kenyataan ‘kurang masak’.

Seorang pembaca yang menghantar pandangannya kepada MalaysiaGazette, Joshua Chan menyokong tindakan Anifah ‘menyekolahkan’ Saifuddin.

Malah beliau menyifatkan tindakan itu wajar diambil kerana isu membabitkan Wisma Putra bukan satu hal yang boleh dipandang ringan.

Kata pembaca itu, Anifah dengan pengalaman selama sembilan tahun mengemudi Wisma Putra sudah pasti lebih arif dengan kecekapan pegawai kementerian dalam menangani sesuatu isu.

“Apakah salah jika Anifah menasihatkan Menteri Luar baharu untuk mendapatkan pandangan dan berunding dengan barisan pegawai yang berwibawa di Wisma Putra?

“Pegawai kerajaan wajib menurut perintah dan berkhidmat untuk kerajaan pemerintah tanpa mengira aliran politik yang dianuti, justeru apa yang salah dengan nasihat Anifah itu?

Joshua juga menempelak Felo pengajar di Universiti Harvard, Phar Kim Beng terhadap Anifah baru-baru ini.

“Mengapa kamu (Kim Beng) perlu menyerang Anifah secara peribadi atau dalam kes ini, menuduh beliau tanpa menggunakan fakta yang ada?

“Kim Beng, anda hanya menganggap anda tahu semua fakta sedangkan tidak sebenarnya. Anda tahu apa yang selalu diperkatakan untuk orang seperti ini, bukan?” soalnya.

MGF23102018_Forum Perdana Tokoh Ma’al Hijrah_14
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah

Joshua berkata, mantan Menteri Luar itu telah membuktikan keupayaan beliau dalam pelbagai perkara termasuk dalam isu membabitkan strategi pertahanan negara dan keselamatan serantau.

Memetik tragedi pesawat MH17 milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai contoh, Joshua berkata, Anifah adalah individu bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak mengenai kaedah sesuai untuk mengambil kotak hitam pesawat itu dari pemberontak Ukraine.

“Tahukah kamu siapa yang banyak membantu kita membawa pulang rakyat dari Korea Utara tanpa sebarang pertumpahan darah? Siapa yang membantu Malaysia memenangi kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC)?

“Adakah kamu tahu siapa tonggak di sebalik kejayaan Malaysia mencipta sejarah apabila resolusi 2334 diluluskan di UNSC? Perlukah saya menyambung lagi Kim Beng?

“Atau kita boleh bercakap mengenai rundingan di Selatan Filipina. Semua itu adalah di bawah bimbingan Anifah dan semestinya dengan bantuan pegawai terlatih di Wisma Putra,” katanya lagi.

Menurut Joshua, semua contoh itu terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan sumbangan Anifah.

“Berani awak menuduh Anifah tidak berbuat apa-apa dalam kes pencerobohan Lahad Datu atau Laut China Selatan?

“Apakah awak ada bukti atau secara membabi-buta menuding jari? Tolong jangan lupa bahawa Anifah ialah anak jati Sabah. Keluarga dan leluhurnya ada di Sabah. Apakah anda fikir beliau tidak akan berbuat apa-apa?

“Sungguh memalukan. Sila berhati-hati apabila berdusta kerana anda boleh dikenakan tindakan undang-undang sekali gus menjejaskan keseluruhan reputasi anda,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Opinion: Anifah’s right in schooling Saifuddin in Parliament