Dr Ong Kian Ming
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

KUALA LUMPUR- Kerajaan membuka pintu kepada pengeluar kereta Jerman untuk turut serta dalam projek kereta nasional ketiga, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Timbalannya, Ong Kian Ming berkata, terdapat banyak syarikat Jerman yang sangat berjaya dalam memasang kenderaan komponen unit terurai (CKD) dengan komponen tempatan.

“Sekiranya syarikat Jerman berminat untuk menyertai projek kereta nasional ketiga, kami bersedia menerima dan terbuka kepada cadangan-cadangan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai cadangan yang telah diterima setakat ini, Kian Ming berkata, satu pengumuman akan dibuat nanti.

Dalam pada itu, Duta Jerman ke Malaysia, Nikolaus Graf Lambsdorff berkata, rakyat Malaysia sudah biasa dengan jenama kenderaan dari negara tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini, masih tiada cadangan rasmi atau pertanyaan daripada mana-mana pembuat kereta Jerman yang telah menyatakan minat untuk menyertai projek kereta nasional ketiga Malaysia.

“Empat pembuat kereta Jerman berhasrat untuk meluaskan perniagaan serta meningkatkan pengeluaran masing-masing di Malaysia.

“Mereka sangat aktif di sini dan bukan sahaja berminat terhadap pasaran tempatan malah berminat dengan pasaran negara-negara jiran Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette