Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mungkin akan mendapat kembali RM10 bilion daripada pembatalan projek ECRL yang hanya 20 peratus siap.

Datuk Seri Najib Razak berkata, jika projek itu dibatalkan sekarang, EXIM Bank China akan membatalkan pinjaman Malaysia dan akan minta untuk mendapatkan kembali pinjaman itu serta-merta.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, projek ECRL dibiayai oleh pinjaman mudah tempoh 20 tahun dari EXIM Bank China dan semua pembayaran RM19.6 bilion kepada China Communications Construction Company (CCCC) setakat ini adalah terus daripada bank berkenaan.

“Oleh itu tidak mungkin Malaysia akan mendapat kembali RM10 bilion kerana ini akan dikembali kepada EXIM bank. Malahan, kita akan diminta membayar semula baki RM9.6 bilion lagi yang sudah dibayar EXIM Bank. Adakah kerajaan mengambil kira perkara ini dan menyediakan dana bagi membuat pembayaran ini?,” soal Najib dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, selama beberapa tahun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menuduh projek ECRL menelan kos RM55 bilion adalah satu harga melampau dan mendakwa kos sebenar adalah hanya RM30 bilion.

Lantaran itu, beliau meminta kerajaan untuk memberikan bukti dari mana datangnya RM30 bilion yang dikatakan kos sebenar itu.

“Bagi skop apa dan dari tahun berapa angka ini diperolehi?

“Ketika kita buat keputusan untuk meneruskan projek ECRL, kita bukan sahaja melihat kepada impak manfaat ekonomi dan pembangunan ekonomi pantai timur secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat yang melangkaui kosnya, kita juga ambil kira impak manfaat dari hubungan dua hala dengan China termasuk peningkatan eksport minyak kelapa sawit selain barangan lain ke China.

“Manfaat dan kesan kepada ekonomi perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak terhad kepada satu projek sahaja.

“Kita juga mengambil kira pertumbuhan pelancong China ke Malaysia dan wang yang dibawa untuk berbelanja di negara ini. Sebagai contoh, pada tahun lalu, pelancong China membawa masuk RM13 bilion secara langsung ke dalam negara ini,” tambah Najib.

Beliau juga mendakwa penyusutan 35 peratus ketibaan pelancong China baru-baru ini mungkin disebabkan hubungan Malaysia yang semakin dingin dengan negara itu.

Ia berikutan, kedatangan pelancong China bagi Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan beberapa negara di rantau ini meningkat ketika cuti ‘Golden Week’.

“Mengapa kita kerugian pada ketika negara lain mendapat manfaat?,” soal Najib lagi. – MalaysiaGazette