Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melakukan lawatan kerja selama empat hari ke China sehingga Jumaat ini.

Dalam satu kenyataan Kementerian Pertahanan, lawatan tersebut bagi meninjau pembuatan kapal misi littoral (LMS) dan mesin pemotong keluli di Wuhan.

“Malaysia dengan kerjasama China terlibat dalam pembinaan empat buah kapal LMS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mana dua buah kapal di bina di China dan dua buah dibina di Malaysia melibatkan perkongsian serta perpindahan teknologi di antara kedua negara.

“Ini merupakan projek perolehan aset pertahanan TLDM daripada negara China bagi merealisasikan Program Transformasi Armada 15 to 5,” demikian menurut kenyataan yang sama.

Mindef turut memberitahu, Mohamad turut akan menghadiri forum Beijing Xiangshan ke-8 sebagai memenuhi jemputan China dalam menghargai hubungan baik antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pertahanan Nasional negara itu.

Pada akhir lawatan ke negara itu, Mohamad dijadual akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan China, Jeneral Wei dan Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat China, Xu Qiliang.

“Lawatan kerja ini dilihat sebagai salah satu platform penting serta komitmen kedua-dua negara dalam mengukuhkan lagi jaringan kerjasama menerusi diplomasi pertahanan dalam memastikan kedaulatan negara dan kestabilan di rantau ini sentiasa terpelihara,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette