Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Siregar Abdullah diminta hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya esok.

Menurut sumber SPRM, kedua-duanya diminta berbuat demikian pada 2 petang berhubung kes pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co. (Ipic).

Sebelum itu, Najib beberapa kali dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM.

Najib juga telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Ogos lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga  pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam 2 akaun miliknya pada empat tahun lepas.

Pada 20 September pula, Najib didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa) dan 4 pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.-MalaysiaGazette