Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong disambung hari ini. foto Bernama

GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini masuk hari kelima dengan fokus pencarian di sektor tiga iaitu kawasan penemuan sebuah kontena yang hancur semalam.

Kawasan itu juga merupakan 15 peratus daripada 9290.3 meter persegi (100,000 kaki persegi) yang timbunan tanahnya belum dapat dialihkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata operasi SAR yang disambung semula 8 pagi ini selepas ditangguh pukul 10 malam tadi bermula dengan kerja-kerja mengalihkan timbunan tanah di kawasan 15 peratus itu.

“Operasi semalam terpaksa ditangguh kerana kami kekurangan sumber pencahayaan di kawasan 15 peratus tanah belum dialihkan itu berikutan lokasinya agak jauh dan curam.

“Ia bukan sahaja bahaya kepada pasukan penyelamat malah jengkaut turut boleh terjatuh ke dalam timbunan tanah itu…,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jumaat lepas, tanah runtuh dilapor pada pukul 1.56 tengah hari di kawasan tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu menimbus 13 kontena dan rumah kongsi yang menempatkan pekerja asing projek itu.

Sehingga semalam, sembilan mayat ditemukan terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar.

Empat yang lain iaitu seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia dan seorang wanita Kemboja cedera, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Md Rahaz dilapor masih hilang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

Lelaki Bangladesh yang cedera dikenali sebagai Shamim masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Mohamad Shoki berkata, pihaknya berharap kerja-kerja pengalihan timbunan tanah runtuh di kawasan 15 peratus yang berada di sektor ketiga itu dapat diselesaikan hari ini supaya memudahkan pasukan penyelamat mencari mangsa terakhir yang dikhuatiri tertimbus itu.

“Namun kerja pengalihan tanah itu bergantung kepada keadaan cuaca di lokasi kerana jika hujan operasi SAR perlu dihentikan serta-merta kerana bimbang pergerakan tanah berlaku dan ia boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh berulang,” katanya.

Beliau berkata seramai 100 pegawai dan anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi seperti bomba, polis, pasukan Smart, Agensi Bencana Alam Negara (Nadma), Jabatan Mineral Dan Geosains, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu. – MalaysiaGazette