Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah hadir bagi memberi keterangan berhubung siasatan mengenai urusan 1MDB dan Firma Pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes 1MDB dan IPIC.

Beliau yang hadir buat kali pertama ke SPRM hanya menaiki kereta jenama tempatan iaitu Perodua Myvi.

Bagaimanapun Irwan pernah hadir ke agensi penguatkuasaan anti rasuah ini menaiki kereta yang sama ketika membuat laporan menafikan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini merompak dana GST berjumlah RM19 billion.

Dewan Rakyat diberitahu jumlah keseluruhan pendapatan Irwan dari Januari 2011 sehingga Jun 2018 adalah sebanyak RM2,944,095.61.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan jumlah gaji itu diterima ketika Irwan memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) dari hujung 31 Dis 2010 dan jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan mulai 24 Ogos 2012 sehingga 13 Jun 2018.

Sementara itu, sebaik tiba, Irwan terus memasuki lobi bangunan tanpa memandang kepada jurugambar yang memanggil namanya.

Media hari ini melaporkan SPRM mungkin menahan Irwan untuk menghadapi pertuduhan bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Najib tiba di SPRM sebelum itu tiba sejam setengah lebih awal daripada Irwan.

Difahamkan, pertuduhan ke atas mereka berkaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC), projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek saluran paip gas di Semenanjung dan Sabah.

Mereka dijangka menghadapi sekurang-kurangnya enam pertuduhan secara bersama membabitkan kes pecah amanah wang berjumlah RM6 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis ini.

Sumber SPRM memaklumkan, pihak SPRM mungkin akan menahan Irwan Serigar sebelum membawanya terus ke mahkamah untuk proses pendakwaan.

“Bagaimanapun, Najib mungkin akan dilepaskan selepas proses merakam percakapan dilakukan sebelum turut didakwa bersama Irwan Serigar esok,” katanya dalam laporan yang disiarkan. – MalaysiaGazette