Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – “UMNO akan kami pulih dan islahkan,” kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO sudah tiada adalah tidak benar.

Katanya, dakwaan Perdana Menteri kononnya UMNO tidak lagi memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara, melainkan hanya mempertahankan Datuk Seri Najib Razak juga salah.

“UMNO waktu ini wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia.

“UMNO secara hakikatnya mempunyai lebih ramai ahli, lebih ramai pengundi dan lebih banyak kerusi. Kecuali beberapa ahli parlimen UMNO yang meninggalkan parti, tidak berlaku gerakan besar-besar meninggalkan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Walaupun Mohamad akui UMNO berada dalam keadaan lemah dan susut pengaruhnya, namun parti itu akan dirawat, dipulih dan dibangunkan semula sebagai gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu dan Malaysia.

Tegasnya, walaupun ada beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang melakukan perhitungan yang tersasar, janganlah menghukum jutaan orang Melayu yang bernaung di bawah UMNO.

“Mereka adalah ahli biasa, yang tinggal di seluruh pelusuk tanah air dan tidak melakukan apa jua kesalahan.

“Insyallah, iltizam saya dan rakan-rakan ialah UMNO itu akan kami pulih dan islahkan.

“Apabila sampai garis masanya, insyallah UMNO bukan sahaja akan terus berkelangsungan tetapi menjadi wadah yang lebih baik dan berwibawa,” katanya. – MalaysiaGazette