KUALA LUMPUR – Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) telah mengemukakan permintaan kepada Kementerian Kewangan untuk melanjutkan dan mengembangkan elaun pelaburan semula dalam Bajet 2019 bagi membolehkan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam industri sarung tangan getah.

Persatuan itu berkata, elaun tersebut penting terutamanya bagi pengeluar sarung tangan tempatan untuk terus melabur semula modal yang besar bagi mengembang dan membina kilang moden untuk terus kekal menjadi peneraju dunia dalam industri tersebut.

“Kami mahu berganding bahu bersama kerajaan untuk mengembangkan perniagaan kami ke seluruh dunia dan membawa masuk lebih banyak hasil,” kata Margma dalam satu kenyataan hari ini.

Pengembangan elaun pelaburan semula itu akan membantu kedudukan penerajuan global Malaysia dalam eksport sarung tangan serta mempromosi dan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam pengembangan, modenisasi, pempelbagaian dan automasi kilang bagi menambah baik dan meningkatkan aktiviti pembuatan.

“Ia juga akan merangsang inovasi dan pertumbuhan firma kejuruteraan tempatan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan mahir bagi lulusan universiti dan meningkatkan hasil eksport negara,” kata persatuan itu.

Ketika ini, industri sarung tangan getah tidak lagi diberikan elaun pelaburan semula kerana ia telah dianggap sebagai industri matang. – MalaysiaGazette