Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar selepas memberi keterangan mengenai siasatan berhubung urusan 1MDB dan Firma Pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan cuba bermain politik berhubung isu 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan mahu agar kerajaan menghentikan perkara itu dan bertumpu ke arah memastikan ekonomi negara ini serta rakyat menjadi keutamaan bukannya berterusan menjadikan lawan politik mereka sebagai keutamaan siang dan malam.

“Esok sekali lagi saya akan didakwa oleh SPRM yang tidak pernah berlaku dimana-mana negara yang kerajaannya terlalu pendendam.

“Saya telah menerima hakikat saya telah didakwa berkaitan 1MDB. Ia adalah kuasa kerajaan untuk mendakwa saya mengikut kehendak mereka,” katanya menerusi kenyataan di laman telegram Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Dalam pada itu, Najib turut menegaskan bahawa isu yang ditimbulkan oleh kerajaan telah dijawab terutamanya perkara yang membabitkan penerimaan wang berjumlah RM2 bilion.

Katanya, meskipun beliau telah menyatakan bahawa wang itu sudah dikembalikan dan ia bukanlah satu pencurian namun, beliau tetap terdedah dengan pendakwaan.

“Saya juga telah mendedahkan dokumen bank yang membuktikan beratus juga ringgit telah dibayar kepada akaun saya terus dari akaun bank Menteri Kewangan Arab Saudi sebagai derma.

“Mengapa faktor ini tidak diambil kira dan pihak masih menerima tekanan dari pihak berkuasa mengenai bayaran dari akaun saya?

“Setiap sen 1MDB ialah dari pinjaman. Memang tidak masuk akal yang niat saya ialah untuk mencuri wang yang dipinjam dan letaknya di dalam akaun atas nama saya sendiri kerana wang yang dipinjam akhirnya perlu dibayar balik,” ujarnya.

Sementara itu, Lokman dalam kenyataan sama mengajak rakyat Malaysia dan penyokong Najib turun ke Mahkamah di Jalan Duta esok bagi memberi sokongan moral kepada bekas Presiden UMNO itu.

“Sehubung dengan itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menolak penganiayaan keatas bekas Pemimpin dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk hadir beramai-ramai bagi menyatakan #Solidariti4NajibRazak dan #Solidariti4IrwanSerigar.

“Jangan biarkan penganiayaan demi penganiayaan terus dilakukan keatas bekas Pemimpin dan Penjawat Awam negara ini. Ayuh turun dan berikan sokongan moral kepada mereka,” ujarnya.

Hari ini, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mmberi memberi keterangan berhubung siasatan kes 1MDB dan IPIC.

SPRM mungkin menahan Irwan untuk menghadapi pertuduhan bersama Najib di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Difahamkan, pertuduhan ke atas mereka berkaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC), projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek saluran paip gas di Semenanjung dan Sabah.

Mereka dijangka menghadapi sekurang-kurangnya enam pertuduhan secara bersama membabitkan kes pecah amanah wang berjumlah RM6 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis ini. – MalaysiaGazette