Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR -Pertumbuhan ekonomi akan perlahan pada Disember 2018 hingga Februari 2019, menurut Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Ogos 2018.

Perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) menurun 0.9 peratus pada bulan rujukan, menurut Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, IP ini disusun untuk memberikan isyarat ke mana arah tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Sebaliknya, perubahan bulanan IP meningkat 0.3 peratus pada Ogos 2018 kepada 118.9 mata, berikutan kenaikan 0.1 peratus pada Julai 2018.

Tiga komponen IP yang menyumbang kepada peningkatan adalah bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (0.5%), penawaran wang benar, M1 (0.2%) dan import benar semi konduktor (0.2%).

Indeks Serentak (IS) merupakan ukuran prestasi keseluruhan ekonomi semasa. IS menurun 0.3 peratus pada Ogos 2018 dengan Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan (-0.3%) adalah komponen utama yang menyumbang kepada penurunan.

Perubahan tahunan IS tumbuh 3.6 peratus pada bulan rujukan.

Indeks Difusi bagi IP kekal pada 42.9 peratus bagi tiga bulan berturut-turut. Sementara itu, Indeks Difusi bagi IS menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan 83.3 peratus pada Ogos 2018. – MalaysiaGazette