Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – PKR Sarawak mendakwa Setiausaha Agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail gagal menjalankan tugasnya apabila tidak menyelesaikan isu bantahan keanggotaan PKR Cabang Julau sebelum ini.

Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin berkata, terdapat dua bantahan yang dikemukakan semasa tempoh bantahan, iaitu daripada Ketua Bahagian Julau PKR, Semana Sawang pada 8 Ogos dan olehnya pada 10 September lalu.

“Kami sangat kecewa bahawa setiausaha agung parti tidak nampak hal ini sesuai untuk secara rasmi atau tidak secara rasmi diperakui dan tidak menjawab kedua-dua bantahan bertulis berkenaan.

“Deklarasi berkanun (SD) Vernon Kedit pada 17 Oktober mengandungi dan mengesahkan bantahan Semana Sawang sebelum ini, yang mana setiausaha agung memilih untuk mengabaikannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, walaupun bukti kukuh dilampirkan bersama bantahan namun Saifuddin tidak bertindak terhadap aduan dengan serius.

“Kedua, SD Vernon mengandungi bukti-bukti yang menyokong bantahan Semana. Ini adalah tuduhan serius, yang mana seorang Setiausaha Agung mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikannya. Setiausaha Agung mesti bertindak atas bantahan pertama yang dibuat oleh Semana Sawang.

“Ini merupakan pengabaian tugas oleh setiausaha agung secara terang-terangan kerana tidak bertindak atas tuduhan serius yang dibawa secara rasmi oleh majlis pimpinan negeri (MPN) Sarawak,”tambahnya.

Semalam, Saifuddin berkata, senarai keahlian untuk semua bahagian PKR telah dimuktamadkan sejak tempoh bantahan berakhir.

Menurutnya, setiap cabang sebelum ini telah ditugaskan untuk menapis senarai keanggotaan dan membangkitkan bantahan terhadap sebarang “nama ragu” yang ditemui.-MalaysiaGazette