Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Jumlah aduan terhadap  e-undi yang baharu digunakan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengundi membuktikan ianya sistem tidak stabil serta sangat lemah.

Perkara itu didedahkan oleh calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk segera menjalan siasatan.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mendakwa, pelbagai dakwaan termasuk penipuan, jumlah undi sebenar ‘hilang’, internet perlahan atau tidak stabil sangat banyak diadukan pengundi.

“Banyak sangat aduan yang telah diterima, beberapa hari lepas aduan di peringkat akar umbi serta akuan berkanun dibuat ahli PKR di Sarawak menunjukkan isu dibangkitkan sepanjang pemilihan kali ini amat serius.

“Sejak tiga hingga empat minggu kebelakangan ini, banyak sangat aduan termasuk di cabang saya sendiri Gombak, katanya undi hilang, internet tidak stabil dan sebagainya.

“Bagaimana hendak jelaskan? Anda keluarkan hampir 1,700 kod QR tetapi hasil undian tidak selaras dengan jumlah itu. Sesuatu tidak kena dan sangat membimbangkan. Saya mohon JPP untuk siasat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Mohamed Azmin diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam yang menyifatkan beberapa masalah yang timbul ketika pemilihan di Selangor bukan kerana sistem e-undi tetapi juga berkaitan dengan isu disiplin anggota.

Dakwa Saifuddin,  isu membabitkan sistem e-undi hanya berlaku pada pemilihan di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka manakala kes undi hilang di lima cabang di Melaka dan satu di Negeri Sembilan.

Malah Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Albert Kedit sebelum ini telah membuat perakuan pada 17 Oktober tentang jumlah pengundi bertambah secara drastik secara tiba-tiba.

Mohamed Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak turut menyeru kepada JPP supaya lebih komited dalam memastikan perjalanan pemilihan lebih telus dan lancar. – MalaysiaGazette