KUALA TERENGGANU – Ada yang jatuh pengsan, ada yang dibaling botol, malah  difahamkan ada antara penyokong yang menunggu di kaunter tiket sejak pukul 8 malam tadi.

Itu situasi yang berlaku di kaunter C, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, pagi tadi apabila  lebih 3,000 penyokong membanjiri kawasan itu bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Terengganu Football Club 1 (TFC 1) dan Perak di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, keadaan menjadi tidak terkawal apabila penyokong berpusu-pusu menyerbu empat kaunter yang dibuka hingga berlaku insiden tolak-menolak, namun berjaya ditenangkan  selepas kehadiran pasukan polis.

Difahamkan, hanya 2,000 tiket sahaja dijual di sini bermula pukul 10.30 pagi hingga 2 petang ini.

Cuaca panas terik seawal 9 pagi menyebabkan beberapa orang penyokong jatuh pengsan dan terpaksa dibawa ke hospital dengan ambulans kerana sesak nafas dan tidak menjamah sebarang makanan sejak malam tadi.

Sementara itu, di Ipoh, Perak pula seorang peminat bola sepak juga pengsan dan terkena sawan akibat letih beratur panjang membeli tiket yang sama.

Cuaca panas terik tidak menjadi penghalang buat ratusan peminat bola sepak Perak untuk beratur panjang demi mendapatkan tiket final Piala Malaysia 2018.

Bagaimanapun, ramai peminat yang kesal dan kecewa sehingga menyebabkan berlaku sedikit ketegangan di kaunter jualan di Stadium Perak di sini apabila dimaklumkan tiket telah habis dijual walaupun baharu setengah jam kaunter dibuka iaitu pada pukul 9 pagi.

Menurut Mohd Kamal Syukri Kamaruddin, 20, beliau telah mula beratur untuk membeli tiket sejak pukul 6 pagi.

“Mana boleh baharu setengah jam kaunter dibuka tiket dah habis, saya diberitahu maksimum seorang boleh membeli lima tiket sahaja.

“Dah la dua kaunter sahaja dibuka, kami beratur dari awal pagi..ni sekarang kata tiket dah habis,” katanya kepada Bernama.- BERNAMA