Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Pendedahan demi pendedahan berhubung gaji berjuta-juta diberikan kepada segelintir ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umum.

Berikutan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan kesemua pendapatan mereka akan ditetapkan kadar munasabah selepas ini.

Kata beliau, oleh kerana GLC merupakan syarikat berkaitan kerajaan maka pembayaran gaji serta elaun yang tinggi tidak akan dibenarkan sama sekali selepas ini.

“Bayaran gaji atau elaun terlalu tinggi kepada sesiapa yang memimpin GLC tidak akan dibenarkan selepas ini.

“Ini sekaligus bermakna jumlah gaji atau elaun akan dibayar dengan nilai munasabah dan wajar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan Kementerian Kewangan berhubung jumlah keseluruhan pendapatan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dari Januari 2011 sehingga Jun 2018 adalah sebanyak RM2,944,095.61.

Tambah Mohamed Azmin, kebanyakan GLC utama telah mula jalankan kajian semula keahlian lembaga pengarah sejak beberapa bulan lepas.

“Antara yang telah dikaji termasuk Lembaga Tabung Haji dan FELDA. Kita juga telah bertindak buang semua ahli politik yang duduk dalam GLC sebelum ini.

“Kita gantikan dengan golongan professional untuk tadbir urus GLC,” ujarnya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah gaji itu diterima ketika Mohd Irwan memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) dari hujung 31 Disember 2010 dan jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan mulai 24 Ogos 2012 sehingga 13 Jun 2018.

“Beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 24 Ogos 2012 dan bersara wajib pada 6 Mac 2017. Beliau seterusnya telah dilantik ke dalam perkhidmatan kontrak mulai 7 Mac 2017 sehingga 6 Mac 2019.

“Bagaimanapun, perkhidmatan beliau telah disingkatkan kepada 13 Jun 2018. Jumlah keseluruhan pendapatan beliau dari Januari 2011 sehingga Jun 2018 adalah sebanyak RM2.94 juta,” katanya. – MalaysiaGazette