KUALA LUMPUR – Kritikan bertubi-tubi daripada wakil rakyat serta netizen berhubung kehadiran Ahli Parlimen khasnya yang bergelar Menteri dan Timbalan Menteri semakin ‘meruncing’.

Ini apabila kehadiran mereka ketika sesi soal jawab boleh di kira dengan jari sejak akhir-akhir ini termasuk semalam dan hari ini walaupun mendapat teguran pelbagai pihak.

Terbaru, Timbalan DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon membuat teguran sopan dengan meminta Menteri dan Timbalan Menteri merancang jadual mereka supaya dapat menghadirkan diri ke sesi Parlimen.

“Saya sedia maklum wakil rakyat yang berjawatan seperti Menteri dan Timbalan Menteri sangat sibuk dengan tugasan lain, jadi lebih baik merancang jadual anda dengan lebih baik bagi elak ketidakhadiran ke Parlimen.

“Kalau Menteri tidak dapat hadir, minta hantar Timbalan Menteri ke sidang Dewan Rakyat. Boleh elak jika rancang jadual,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen sebentar tadi.

Beliau mengulas aduan beberapa wakil rakyat seperti Datuk Seri Wee Ka Siong, Datuk Ahmad Maslan dan Tan Sri Annuar Musa yang memuat naik gambar keadaan Dewan Rakyat yang lenggang ketika sesi perbahasan.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff menyifatkan ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen sebagai perkara biasa yang berlaku di mana-mana negara.

Malah, beliau berpandangan, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana ahli Parlimen. – MalaysiaGazette