Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membantu siasatan berhubung urusan 1MDB dan Firma Pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini hari ini kembali menjadi tumpuan pengamal media tempatan dan luar negara.

Dianggarkan lebih 50 pengamal media mula berkumpul seawal pukul 7 pagi bagi membuat liputan pendakwaan kali keempat ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pihak polis dan juga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) seperti biasa kelihatan mengawal keadaan namun dalam suasana yang masih tenang.

Kelibat orang ramai pula masih lagi lengang dan tidak kelihatan penyokong terutama dari UMNO yang hadir.

Sementara itu, bekas Presiden UMNO itu dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah akan didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur sebentar lagi.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mendapat izin untuk menuduh kedua mereka dari Pejabat Peguam Negara.

“Kedua-duanya akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia,” katanya.

Turut didakwa bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab. Hamid berhubung isu pecah amanah turut melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.

Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Bermula pada 4 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. – MalaysiaGazette