Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Keputusan membatalkan empat projek penjana tenaga bebas (IPP) berkuatkuasa serta merta membolehkan kerajaan menjimatkan sekurang-kurangnya RM1.26 bilion.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, projek Loji Jana Kuasa berkapasiti 700 megawatt (MW) oleh Malakoff Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar terpaksa dibatalkan kerana pemaju tidak patuh dengan syarat dalam surat tawaran.

Selain itu, projek lain ialah projek Loji Janakuasa 1,400 MW oleh Aman Majestic Sdn Bhd dan TNB di Paka, Terengganu, projek Loji Janakuasa Kitar Padu gas 300 MW oleh Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn Bhd dan SM Hydro Energy Sdn Bhd di Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Sandakan.

“Ini juga termasuk pembatalan kuota tenaga solar sebanyak 400 MW kepada Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi pembangunan loji janakuasa solar.

“Pembatalan projek-projek ini berikutan ketidakpatuhan terhadap syarat yang dikenakan dalam surat tawaran oleh pihak pemaju. Kita juga dapat jimatkan sekurang-kurangnya pembekalan elektrik kepada pengguna sebanyak RM1.26 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ipoh Timur (PH), Wong Kah Woh yang ingin tahu 4 IPP yang akan dibatalkan kontrak seperti yang diumumkan kementerian itu sebelum ini.

Bee Yin juga memberi jaminan pembatalan projek-projek IPP ini tidak akan memberikan implikasi kewangan dan perundangan kepada kerajaan kelak.

“Kita juga amat komited dalam memastikan projek penjanaan elektrik pada masa hadapan sama ada berasaskan bahan api fosil atau tenaga boleh diperbaharui akan dianugerahkan secara tender terbuka,” tegasnya. –MalaysiaGazette