Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu dilayan dengan adil selagi tidak ada hukuman mahkamah dijatuhkan kepadanya, tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Justeru itu, beliau menasihatkan semua ahli parti itu perlu berfikiran positif dan rasional terutamanya dalam keadaan UMNO kini berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya apabila peneraju mereka didakwa melakukan pelbagai kesalahan.

“Semua ahli UMNO diminta agar bertenang dan terus istiqamah bersama parti dalam perjuangan memenangi semula keyakinan rakyat.

“Pada masa yang sama, semua ahli juga mesti berfikiran positif dan bersikap rasional dalam apa juga keadaan.

“Ini termasuklah dalam isu memberi layanan adil sejajar dengan prinsip ‘innocent until proven guilty’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Noraini ahli parti tidak wajar terikut-ikut dengan emosi masing-masing sehingga menghilangkan fokus untuk memulihkan UMNO.

“Janganlah ahli-ahli UMNO bertindak mengikut emosi dan biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah.

“Wanita UMNO berharap apa yang berlaku tidak mematahkan semangat perjuangan ahli-ahli parti.

“Jangan sampai fokus dan tumpuan kita ke arah memulih dan memperkasakan semula parti keramat ini terjejas dan teralih susulan penangkapan dan pendakwaan ke atas Presiden parti,” katanya lagi.

Terdahulu Pergerakan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas bermesyuarat semalam sepakat menggesa agar Zahid bercuti untuk sementara wakti daripada menjalankan tugasnya sebagai Presiden.

Langkah itu dikatakan Asyraf bagi membolehkan Ahmad Zahid memberi tumpuan kepada 45 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Sebagai respon, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pula mencabar Asyraf meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kerana gagal mempertahankan Zahid. -MalaysiaGazette

Pemuda UMNO cadang Zahid bercuti