Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir di Bangunan Perdana Putra hari ini.Adel telah berada di Malaysia sejak Rabu sempena lawatan kerja tiga hari beliau.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir di Bangunan Perdana Putra hari ini.Adel telah berada di Malaysia sejak Rabu sempena lawatan kerja tiga hari beliau.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di atas layanan yang diberikan kepada jemaah Malaysia yang melaksanakan ibadah haji di negara itu.

“Kita ucap terima kasih di atas layanan yang diberi kerajaan Arab Saudi selama ini kepada jemaah kita yang melaksana haji yang kadang-kadang mereka diberikan layanan istimewa.

“Secara umumnya kerajaan Arab Saudi adalah tuan rumah yang baik dan kita tidak mempunyai masalah dengan mereka,” katanya kepada media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir di bangunan Perdana Putra.

Kedua-dua mereka mengadakan perbincangan kira-kira 30 minit bersempena lawatan tiga hari Adel ke Malaysia bermula Rabu lalu.

Perdana Menteri berkata menteri tersebut turut menghargai dan memuji sikap jemaah Malaysia yang melaksana ibadah rukun ke lima itu secara cukup teratur.

“Kelebihan Malaysia ini adalah kerana kita pergi ke sana melalui Tabung Haji untuk mengurus perjalanan ibadat haji jemaah Malaysia,” katanya.

Mengenai kuota ibadat haji, Dr Mahathir turut menceritakan kepada Adel mengenai jumlah bilangan pencarum Tabung Haji yang ramai di negara ini.

“Oleh itu kuota sebesar mana pun, tak boleh semua akan pergi dan ada yang telah tua mungkin tak boleh pergi haji jadi kita cuba nak bagi keutamaan kepada golongan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata Adel telah menerima penjelasan beliau.

“Saya tidak mintak tambah kuota haji tapi saya terangkan bahawa yang nak pergi ramai tetapi kerana umurnya dah lebih mungkin mereka tak dapat pergi,” katanya.

Kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi tahun ini kekal 30,200 orang seperti tahun lepas.

Perdana Menteri juga berkata sebarang isu berkaitan kedua-dua negara telah dibincangkan dan diselesai Adel bersama rakan sejawatnya Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra.

— BERNAMA