Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri Pakatan Harapan yang beberapa hari yang lalu tidak berada di Dewan Rakyat menganggap institusi itu tidak relevan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia terbukti apabila ketiadaannya juga tidak ‘menarik’ Menteri dan Timbalan Menteri untuk hadir ke Dewan Rakyat.

“Hari itu, (Lim) Kit Siang beri alasan bahawa tiada menteri ataupun timbalan menteri di Dewan Rakyat semasa saya membahas pada hari Selasa ialah kerana saya tidak relevan lagi.

“Keesokan hari, saya membalas Kit Siang bahawa saya tidak ada di Dewan tetapi menteri-menteri dan timbalan mereka juga hilang.

“Pagi semalam saya juga tidak ada di Dewan, tetapi menteri-menteri PH tetap hilang.

“Soalan saya kepada Kit Siang ialah menteri-menteri PH anggap saya tidak relevan ataupun mereka anggap Parlimen tidak relevan?,” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mendakwa ketiadaan Menteri dan Timbalan Menteri adalah mereka enggan mendengar perbahasan Najib kerana beliau tidak lagi relevan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sinis turut memberi pandangan sama seperti Kit Siang apabila menganggap ucapan Najib jemu didengar. -MalaysiaGazette