Orang ramai dinasihat berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula hari ini hingga Mac tahun depan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD), dalam tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.

Menurutnya, pada November dan Disember ini, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, manakala Disember dan Januari 2019 episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta Sabah.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh tiga hingga lima hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang risiko kejadian banjir akan menjadi lebih buruk,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, luruan monsun pertama yang membawa hujan monsun berterusan di Kelantan dan Terengganu dijangka berlaku pada 30 Oktober hingga 1 November ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi musim tengkujuh ini dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorology Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, facebook: malaysiamet, twitter: @malaysianmet dan MMD Hotline di talian 1.300-22-1MET (1638). – MalaysiaGazette