Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Program International Federation of Tech Analyst Annual Conference (IFTA) di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa sebarang perubahan dasar yang dibuat oleh kerajaan tidak akan memudaratkan pelabur-pelabur.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang menyusun semula keupayaan kewangan negara sebagai persediaan dalam menghadapi pergolakan kewangan global pada masa hadapan.

Katanya, semua langkah-langkah itu akan dimasukkan ke dalam bajet yang akan dibentangkan olehnya di Parlimen pada Jumaat depan.

“Belanjawan yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini iaitu 2 November telah direka untuk menjadikan Malaysia lebih kuat dan turut memastikan kemakmuran rakyat serta generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Persekutuan Antarabangsa Analisis Teknikal 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin bahawa dasar-dasar baru yang diwujudkan mempunyai asas yang lebih kukuh.

Malah katanya, ia juga mempunyai keseimbangan kerana kerajaan turut mengamalkan perbelanjaan secara berhemah.

Tambah beliau, perkara lain yang turut dititik-beratkan ialah memastikan agar sektor swasta turut diberi rangsangan yang kuat. – MalaysiaGazette