Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak bertanya kepada Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir tentang percanggahan kenyataan berhubung derma RM2.6 bilion yang didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan pihak tertentu dari negara itu.

“Saya tidak tanya kenapa dia memberi kenyataan yang berbeza dulu dan sekarang…tapi dia kata ia (RM2.6 bilion dari kerajaan Arab Saudi) tidak benar sama sekali,” katanya yang menerima kunjungan Menteri Luar itu di Putrajaya hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini.

Menteri Luar itu pada 2016 pernah mengesahkan derma RM2.6 bilion adalah dari pihak tertentu di Arab Saudi, bagaimanapun dalam pertemuan dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, beliau berkata, dana tersebut bukan dari kerajaan negara itu.

Perdana Menteri berulang kali ditanya berkaitan percanggahan kenyataan itu, temasuk sama ada kemungkinan Menteri Luar Arab Saudi itu ingin ‘mengambil hati’ kerajaan sekarang begitu juga ketika kenyataan dibuat sebelum ini iaitu bertujuan menggembirakan kerajaan ketika itu.

Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan itu, bagaimapun, katanya, beliau tidak tahu apa yang bermain di fikiran Adel Ahmad Al-Jubeir itu.

Ketika ditanya lagi tentang isu tersebut termasuk percanggahan kenyataan Najib dalam temuramah dengan AlJazeera dan sama ada beliau mahu mempercayai Menteri Luar atau Najib atau Arab Saudi,  Dr Mahathir menyifatkan keadaan itu sebagai satu penyakit.

“(Percanggahan) ini adalah sejenis penyakit yang telah menjangkiti Trump misalnya di mana satu hari beliau mahu menghukum Arab Saudi tetapi selepas itu beliau berkata Arab Saudi tidak melakukan kesalahan dan lebih ikhlas.

“Maka agak sukar untuk berpegang kepada kata-kata pemimpin luar,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, isu mempercayai kata-kata Menteri Luar Arab Saudi itu tidak penting sebaliknya yang lebih penting adalah bukti berupa dokumen sama ada wang derma itu datang dari 1MDB atau pun dari Arab Saudi.

“Kamu tidak boleh urusniaga wang yang sangat banyak tanpa rekod. Jika mereka kata ia dari Arab Saudi tunjukkan bukti, jika sebaliknya kita perlu cari dari mana wang itu. Setahu saya ia dari 1MDB,” tegasnya.

Mengenai gesaan Najib supaya pihak berkuasa turut mencari dan menangkap pihak lain di peringkat antarabangsa yang didakwa turut terlibat dalam skandal 1MDB. Perdana Menteri berkata: “Okay, minta dia buat laporan, kita akan bertindak.”

Ditanya sama ada kerajaan akan bertindak jika mendapati Arab Saudi atau keluarga diraja negara berkenaan turut terlibat dalam skandal, katanya, adalah sukar untuk menguatkuasakan undang-undang Malaysia di negara lain.

“Adalah mendapati sukar untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas individu di negara lain…jika mereka terlibat dalam jenayah di Malaysia (1MDB) dan menjejaskan warga kita dan wang kita dan mereka datang di sini kita akan tahan mereka,” katanya..

Mengenai sama ada tindakan sedemikian kelak boleh menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara, katanya, perkara tersebut adalah isu berbeza yang boleh diselesaikan manakala jenayah tetap jenayah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. dulu dia bercakap dengan orang lain sekarang dengan orang lain pula tentulah berbeza . tanda orang hidup nak cari makan .

Comments are closed.