Menteri Pertahanan merangkap Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu (kanan) menyerahkan kunci sebagai simbolik perasmian kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi PAN Wilayah Persekutuan, Dr. Mohd Hatta Md Ramli (kiri) sambil diperhatikan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad (dua kiri) pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Pejabat Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan dan Kawasan Bandar Tun Razak di Institut Latihan DBKL, Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kehadiran Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membawa perkembangan positif dan gelombang baharu khususnya di Kelantan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, hakikatnya beliau sangat berharap Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa untuk menyertai partinya.

Beliau mendedahkan, selepas Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tok Pa sebenarnya adalah individu paling popular dan dihormati di  Kelantan.

“Memang ini adalah satu perkembangan yang sangat positif. Gelombang perubahan positif yang akan membawa kebaikan kepada kerajaan PH.

“Kehadiran Tok Pa sememangnya dinantikan, saya juga berharap beliau masuk dalam parti Amanah, akhirnya beliau pilih PPBM. Tetapi tidak apalah, janji kerajaan PH saya gembira juga.

“Tok Pa ini sangat popular di Kelantan khasnya. Semua suka kepada beliau. Apatah lagi, saya sendiri tidak pernah sebarang kontroversi atau skandal yang dikaitkan dengannya. Beliau mempunyai imej yang amat baik.

“Sudah tentu ini sangat baik buat kami dalam PH, saya gembira kerana keputusan beliau menyertai kerajaan PH,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Amanah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sebelum ini, Tok Pa yang juga merupakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan selain bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pernah memberi bayangan menyertai PH.

Mustapa meninggalkan UMNO pada 18 September lalu selepas lebih 40 tahun bersama parti itu, beliau merupakan antara pemimpin kanan parti berkenaan pertama meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei lepas.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang dakwaan  Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin, Mohamad Sabu berkata beliau tidak pernah mendengar tentang perkara.

Malah Mohamad Sabu yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, pihaknya dalam parti Amanah tidak pernah mendapat tawaran ada wakil rakyat UMNO yang berminat menyertai partinya.

“Tidak ada. Saya juga pertama kali dengar. Apabila berkesempatan bertemu dengan Kadir nanti saya akan tanya beliau sendiri tentang perkara ini.

“Tetapi kami dalam Amanah, tidak pernah mendapat tawaran ada Ahli Parlimen UMNO yang mahu lompat ke parti kami, tidak ada.

“Bagaimanapun, penyertaaan ahli biasa ke dalam parti ini mencecah sehingga 10,000 orang setiap bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 lepas. Alhamdulliah, keyakinan rakyat terhadap PH semakin meningkat dengan sendirinya,” ujar beliau. –MalaysiaGazette

Tun Mahathir Terima Borang Keahlian PPBM Tok Pa