Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan inisiatif baharu berkaitan budaya keselamtan yang dikenali sebagai Tenaga Safety Culture (TSC).

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB), menerusi TNB Research Sdn Bhd, telah menjalin kerjasama dengan dua syarikat lain bagi mengendalikan kilang demonstrasi pembersihan kekotoran tandan kosong buah sawit (EFB) yang digunakan dalam pengeluaran palet biomas premium.

Palet berkenaan digunakan dalam usaha penjanaan tenaga.

TNB Research, anak syarikat milik penuh dan cabang penyelidikan dan pembangunan (R&D) TNB pada masa ini menjalankan aktiviti penyelidikan dan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan pembangunan membabitkan sisa industri minyak sawit yang diubah kepada produk nilai tambah tinggi, kata TNB dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa lepas, TNB Research bersama dengan KEPRI, institut penyelidikan KEPCO yang merupakan utiliti elektrik terbesar Korea Selatan dan Detik Aturan Sdn Bhd (DASB), pengeluar palet biomas Malaysia, telah melancarkan kilang demonstrasi tersebut yang merupakan kemudahan demonstrasi cucian air biomas pertama seumpamanya di Malaysia.

Bercakap pada majlis pelancaran itu, Pengarah Urusan Detik Aturan, Khairil Annuar Khalid menyifatkan penglibatan syarikat dalam projek itu dari segi penyediaan lokasi kilang berkenaan sebagai bukti komitmen terhadap persekitaran lebih bersih dan sihat.

Sementara itu, Presiden KEPRI, Dr Sung Hwan Bae, berkata sebagai pemaju teknologi elektrik terkemuka Korea Selatan, institut itu gembira kerana dapat menyokong pengembangan palet biomas bernilai tinggi yang berpotensi sebagai bahan bakar untuk penjanaan kuasa.

Pengarah Urusan Penyelidikan TNB Ir Dr Zainul Asri Mamat pula berkata: “Kita amat berterima kasih kepada teknologi baharu muncul yang menyaksikan perniagaan biomas dunia mengalami era perubahan serba pesat.”

Beliau turut menyifatkan kerjasama di kilang demonstrasi itu akan memastikan industri palet biomas kekal di barisan utama dalam usaha memanfaatkan perubahan yang dialami bidang tersebut.

Pada majlis pelancaran itu, ketiga-tiga pihak turut memeterai memorandum persefahaman untuk menggalakkan kerjasama dua hala dalam teknologi, kecekapan serta peluang perniagaan dalam perniagaan biomas di serata dunia.- BERNAMA