Maszlee
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Sesi soal jawab berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Dewan Rakyat bertukar menjadi gamat dan kecoh apabila Ahli Parlimen saling berbalah dan tuduh menuduh antara satu sama lain.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang terap (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menempelek  ‘suara-suara’ sumbang yang seolah-olah mengejeknya ketika sedang menjawab soalan lisan itu.

“Malang sekali wakil Ahli Parlimen BN kerana hanya mementingkan isu kasut dan stoking. Tahap mereka hanya setakat itu sahaja. Mereka gagal memahami tentang isu yang lebih penting munasabah,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lenggong (BN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, dan Ahli Parlimen Kuala Krau (BN),  Datuk Seri Ismail Mohamed Said serta Pasir Salak (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bangkit melabel Maslzee sebagai ‘Menteri Kasut’ selain menuduhnya sengaja lari daripada soalan asal.

“Adakah anda Yang Berhormat ‘Kasut’ kah? Tolong cakap. Jangan lari topik,” teriak mereka.

Namun sambil tersenyum sinis, Maszlee yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam menuduh segelintir wakil rakyat BN mempunyai tahap mentaliti ‘rendah’.

“Inilah tahap mentaliti wakil BN. Dalam hal ini saya amat menyukai cara Ahli Parlimen Rembau yang sangat memahami isu. Segelintir ini hanya berminat untuk memainkan isu kasut sahaja.

“Malaysia adalah negara demokratik, bagi mereka yang hanya kepalanya dipenuhi dengan ‘kasut’, kita biarkan mereka sahaja melawan. Janganlah mencontohi wakil rakyat kasut seperti ini,” selorohnya.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat ketawa terdekah-dekah melihat gelagat yang berlaku dalam Dewan Rakyat ketika ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab isu UEC, beliau memberi jaminan ia masih dalam peringkat kajian dan dilakukan secara terperinci.

“Kajian menyeluruh terperinci terlebih dahulu dalam isu UEC, perbincangan sihat dengan semua pemain industri, kerajaan terdahulu gagal hanya pandai menuding jari sahaja. Rasional serta tidak prejudis. Tidak ada usaha serius oleh mereka sebelum ini sebaliknya kerajaan PH lebih komited dalam perkara ini.

“Hal ini juga penting kerana tidak mahu memberi peluang kepada segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu berkaitan pendidikan untuk kepentingan peribadi,” ujanya. –MalaysiaGazette