Ibrahim Ali
Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali berjalan keluar selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung pendaftaran parti itu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Sidang media Datuk Dr Ibrahim Ali terpaksa beralih tempat gara-gara tindakan beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menghalang Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu untuk berbuat demikian.

Beberapa anggota Rela yang ditugaskan di bangunan tersebut telah meminta Ibrahim menunjukkan surat kebenaran yang membolehkan beliau mengadakan sidang media di situ.

Sidang media yang hendak diadakan oleh Ibrahim adalah mengenai perkembangan pertemuan beliau dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Masyati Abang Ibrahim berhubung permohonan kelulusan parti yang dipohon pada Ogos lepas.

Tidak mahu menimbulkan kekecohan, akhirnya Ibrahim mengajak sekumpulan wartawan dan jurugambar berpindah lokasi sidang media ke Kelab Tasik Putrajaya di sini yang jaraknya kira-kira 400 meter dari kementerian berkenaan.

Ibrahim ketika mengulas mengenai perkara itu menyifatkan tindakan sukarelawan berkenaan seolah-olah ‘lebih sudu dari kuah’ kerana kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, semasa pemerintahan kerajaan terdahulu media boleh sahaja mendapatkan liputan berita tanpa ada sekatan di bangunan kerajaan meskipun ketika itu berada di dalam lif.

“Baik lagi kerajaan Barisan Nasional dahulu. Tak pernah pun sekat media yang datang buat liputan. Sesiapa sahaja pun boleh buat sidang media,” katanya.

Terdahulu, beberapa petugas media yang menunggu Ibrahim di luar bangunan tersebut beberapa kali diusir oleh anggota Rela sama dengan alasan tiada undangan daripada pihak kementerian.

Bagaimanapun, arahan itu tidak diendahkan sehingga Ibrahim muncul di hadapan pintu masuk bangunan berkenaan.

Sebelum meninggalkan KDN, Ibrahim yang berang telah meninggikan suara ke arah anggota RELA terbabit dengan mempersoalkan, ‘apakah kita ini tinggal di negara Rusia’.

Bekas ahli Parliman Pasir Mas itu turut melahirkan rasa kesal dengan beberapa insiden sejak akhir-akhir ini membabitkan media yang dilakukan oleh beberapa pimpinan dalam kerajaan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette