Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2018
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah berharap tindakan sekumpulan ahli  parlimen UMNO yang didakwa mahu meninggalkan parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan satu usaha sia-sia kepada mereka terlibat.

Ku Li mengibaratkan PPBM sebagai parti yang lemah namun mungkin menjadi destinasi pilihan sesetengah wakil rakyat UMNO.

“Ini cerita ular sawa (UMNO) dijemput masuk sarang ular lidi (PPBM). Kita nak tahan macam mana?

“Asalkan mereka tak berpaut kepada dahan yang rapuh,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jangkaan Anggota Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin yang mendakwa kira-kira 40 ahli parlimen UMNO akan meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM.

Dalam pada itu, Ku Li tidak tahu menahu kesahihan dakwaan itu dan secara peribadi beliau tidak pernah menerima sebarang ‘lamaran’ untuk menyertai PPBM.

“Tidak tahulah… Saya bukan ahli nujum. Saya tidak ada (dapat lamaran daripada PPBM) saya racun kuat, (mereka) tidak berapa nak terima saya barang kali,” selorohnya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed selepas beberapa waktu meniggalkan UMNO kemudiannya membuat keputusan untuk menyertai PPBM.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan perkembangan politik semasa, Ku Li tetap yakin UMNO tidak ‘terkubur’ kerana parti itu mempunyai sokongan kuat daripada akar umbi.

“Hancur macam mana UMNO parti akar umbi, di mana-mana pun ada, di kampung di ceruk rantau pun ada di pejabat kerajaan ada ahli perniagaan ada.

“Dekat 70 tahun bukan mudah. Ada sejarah perjuangannya berasas melawan penjajah dan sebagainya,” tambahnya. -MalaysiaGazette