Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam lubang tadahan air dengan kesan tikaman di seluruh tubuh di Ladang Kambau, Kota Tinggi, dua hari lepas.

KANGAR – Polis menafikan dakwaan berlakunya cubaan menutup atau ‘cover up’ kes seksual melibatkan seorang ahli Parlimen di Perlis, sebaliknya siasatan dijalankan secara sulit mengikut prosedur ditetapkan kerana kes membabitkan mangsa bawah umur.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata pihaknya tidak sama sekali bertindak berat sebelah kerana suspek seorang VVIP dan menegaskan mana-mana individu yang terlibat jenayah akan tetap dibawa ke muka pengadilan.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan selesai sahaja siasatan kita akan serahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch) Datuk R Sri Sanjeevan menerusi akaun Twitternya yang mempertikaikan mengapa anggota Parlimen terbabit sehingga kini masih belum ditangkap sedangkan laporan polis sudah dibuat mangsa.

Difahamkan, satu laporan polis dibuat baru-baru ini yang mendakwa mangsa berusia 15 tahun dicabul oleh anggota Parlimen berkenaan, namun laporan itu ditarik balik keluarga mangsa.- BERNAMA