Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan penurunan dalam saham wajaran tinggi dan sejajar dengan prestasi Wall Street semalaman yang lemah.

Pada 9.19 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.08 mata kepada 1,682.65 daripada 1,683.73 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka tinggi 4.45 mata kepada 1,688.18.

Public Bank Investment Bank Bhd berkata Dow Jones ditutup 245.39 mata lebih rendah, mencatatkan pemulihan harian terbesar dalam tempoh lebih lapan bulan. Sementara itu, S&P 500 ditutup dalam julat pembetulan.

“Ketidaktentuan pasaran didorong oleh berita mengenai kemungkinan lebih banyak tarif AS-China akan diumumkan, jika pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Xi Jianping pada bulan depan gagal untuk mengurangkan ketegangan perdagangan. Penurunan di pasaran Asia, termasuk Bursa Malaysia, disebabkan jualan besar-besaran dalam saham AS,” katanya dalam nota hari ini.

Di Bursa Malaysia, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 209 berbanding 176 dengan 176 tidak berubah, 1,429 kaunter tidak diniagakan dan 91 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 205.9 juta unit bernilai RM80.66 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.27, Public Bank merosot enam sen kepada RM24.52, CIMB berkurangan dua sen kepada RM5.58, manakala Tenaga naik 14 sen kepada RM14.24 dan Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM9.36.

Bagi saham aktif, Hubline tidak berubah pada 4.5 sen, Datasonic naik 1.5 sen kepada 32 sen, Orion IXL menambah setengah sen kepada 11 sen, manakala Sapura Energy dan Hibiscus Petroleum, masing-masing susut 1.5 sen kepada 31 sen dan 99.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 14.33 mata kepada 11,511.32, Indeks FBM Ace jatuh 27.76 mata kepada 4,684.58 dan FBM 70 susut 54.49 mata kepada 13,076.74.

Indeks FBM Emas turun 19.64 mata kepada 11,535.42 dan Indeks FBMT 100 susut 16.39 mata kepada 11,402.83.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 3.02 mata kepada 7,279.2, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 21.26 mata kepada 17,011.07, dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.01 mata kepada 167.98.

– BERNAMA