Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR-  Berkuatkuasa Januari tahun depan semua deposit melebihi RM25,000 ke dalam mana-mana institusi kewangan perlu dilaporkan kepada Bank Negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, langkah tersebut adalah untuk mengekang aktiviti penggubahan wang haram dan aktiviti jenayah.

Jumlah tersebut adalah separuh berbanding had sebelum ini iaitu RM50,000 dan lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat iaitu AS$10,000 (RM41,000).

Menurut Nor Shamsiah, sejumlah RM10 trilion (AS$2.6 trilion) hilang di seluruh dunia akibat jenayah kewangan.

“Justeru, sudah tiba masanya kita mencari jalan untuk mengetatkan kawalan bagi mengekang jenayah kewangan.

“Antara yang boleh dilakukan oleh Malaysia adalah menaikkan had keperluan untuk melapor kepada Bank Negara.

“Apabila kita bandingkan dengan negara-negara lain, had yang ditetapkan Malaysia selama ini adalah sangat tinggi berbanding saiz ekonomi terutama sekali kuasa beli rakyat.

“Dengan itu, had tersebut perlu dikemaskini,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Pengganas 2018.

Menurut Nor Shamsiah, penurunan had terbaharu itu tidak akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi tetapi ia mampu mengekang aktiviti jenayah yang sangat bergantung kepada urusniaga tunai. – MalaysiaGazette