PKR membuat persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan menjalankan proses 'e-undi’ secara 'offline' (luar talian) bagi pemilihan di Sabah untuk mengelak masalah kehilangan data undi berulang.
PKR membuat persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan menjalankan proses 'e-undi’ secara 'offline' (luar talian) bagi pemilihan di Sabah untuk mengelak masalah kehilangan data undi berulang.

KUALA LUMPUR – PKR membuat persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan menjalankan proses ‘e-undi’ secara ‘offline’ (luar talian) bagi pemilihan di Sabah untuk mengelak masalah kehilangan data undi berulang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Adzman Hedra berkata JPP sedang mempersiapkan keperluan bagi pemilihan yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini jika talian Internet terganggu termasuk mewujudkan ‘storan salinan’ (duplicate storage).

“Kita telah menghantar pasukan untuk meninjau persiapan termasuk capaian Internet di setiap pusat yang akan digunakan sebagai lokasi pemilihan, jika capaian Internet membolehkan, kita akan laksanakan seperti biasa (dalam talian), tetapi kita telah bersedia dengan pelan sokongan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Adzman mengakui JPP menghadapi cabaran besar bagi memastikan pemilihan di negeri bawah bayu itu berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini kerana kebanyakan pusat pemilihan berada di pedalaman yang mungkin pencapaian Internetnya sangat terhad.

Pemilihan di Sabah pada Sabtu dan Ahad melibatkan 25 cabang dengan 145,639 anggota layak memilih.

Sebelum ini, capaian Internet yang lemah pada pemilihan di Melaka dipercayai menjadi punca sejumlah undi tidak dapat dikesan dan dikira.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan semula di semua cabang Melaka dan cabang Jelebu, Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 11 Nov ini, beliau berkata hanya anggota yang undinya terjejas sahaja akan dipanggil untuk mengundi semula.

“Maklumat mereka telah kita berikan kepada koordinator negeri supaya yang terlibat ini boleh dimaklum untuk melakukan proses pemilihan semula di pusat yang telah ditetapkan di cabang masing-masing,” katanya.

Pemilihan di Kuala Selangor, Selangor yang tertangguh juga akan diadakan pada 11 Nov.

Mengulas mengenai adanya unsur sabotaj pihak tertentu termasuk memasang ‘jammer’ untuk menggagalkan pemilihan di Kuala Selangor, Adzman berkata JPP lebih bersiap siaga supaya kejadian itu tidak berulang.

“Kita tidak pernah menyangka adanya sabotaj seperti ini, dalam JPP memperkemas dan memperkukuh sistem ‘e-undi’ ini kami terpaksa berdepan juga dengan tindakan sabotaj dan pemilihan nampaknya sudah tidak sihat dengan semua tindakan ini.

“Kita andaikan mereka ini takkan melakukan taktik yang sama berulang kali, justeru kita akan mengambil segala langkah keselamatan bagi mengelak percubaan menggagalkan proses pemilihan tidak berulang,” katanya.

Adzman berkata pada pemilihan cabang Kuala Selangor Ahad lepas, sebuah ‘jammer’ iaitu alat penghadang talian telekomunikasi ditemui di pusat pemilihan menyebabkan sistem ‘e-undi’ gagal beroperasi.

Tambahnya, penemuan yang telah dilaporkan kepada pihak polis itu juga merungkai masalah undi ‘hilang’ di Melaka dan Jelebu yang kemungkinan disebabkan sabotaj sama.

— BERNAMA