Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengubah pemikiran atau mentaliti mereka terhadap geran kerajaan yang diterima, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail. - foto hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengubah pemikiran atau mentaliti mereka terhadap geran kerajaan yang diterima, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata, mereka perlu melihat geran itu bukannya bantuan wang percuma sebaliknya sebagai platform atau batu loncatan menstabilkan perniagaan masing-masing.

“Banyak syarikat pemula niaga PKS berharap untuk menerima geran kerajaan. Malangnya, apa yang menyedihkan ada di antara mereka yang tidak menghargai geran itu sehingga ke tahap tidak kisah pun sekiranya gagal.

“Kita perlu ubah mentaliti sedemikian. Mereka perlu faham bahawa geran kewangan ini bukannya wang percuma dan ada banyak syarikat lain yang berharap untuk mendapat bantuan itu.

“Sebagai contoh, kita ingin memastikan bahawa geran kerajaan dalam belanjawan yang diberikan kepada usahawan akan dibayar semula agar dapat dimanfaatkan oleh usahawan lain atau bagi mewujudkan keuntungan dan bagi tujuan pembayaran dividen,” katanya kepada Bernama.

Malah, Aria Putera menegaskan, ekonomi Malaysia akan turut terancam sekiranya pemberian geran berkenaan terus disalahgunakan.

“Kerajaan memerlukan kaedah lebih jelas bagi meluluskan geran ini supaya syarikat pemula niaga tersebut akan menghargai bantuan itu dan seterusnya mencatat prestasi lebih baik,” katanya.

Menyentuh pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat ini, beliau berharap kerajaan akan terus menyalurkan geran kepada PKS bagi membolehkan mereka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Adalah diharapkan kerajaan tidak mengurangkan peruntukan, malah terbaik jika dapat menambahnya berbanding jumlah sebelum ini,” katanya.

Pada tahun lepas, PKS menyumbang sejumlah RM435.1 bilion kepada ekonomi Malaysia, sekali gus menjadikan sumbangan segmen itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 37.1 peratus berbanding 36.6 peratus pada 2016.

Kerajaan menyasarkan sumbangan PKS terhadap KDNK mencecah 41 peratus pada 2020 dengan sumbangan kepada eksport negara sebanyak 23 peratus manakala aspek pekerjaan PKS mencapai 65 peratus daripada jumlah pekerjaan.

Dalam Belanjawan 2018, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM200 juta kepada PKS dalam bentuk program latihan, geran dan pinjaman mudah di bawah SME Corp.

— BERNAMA