Tommy Thomas
Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan membuat permohonan kepada Mahkamah di England berkenaan satu perintah untuk mengetepikan award persetujuan yang direkodkan pada 9 Mei 2017 oleh Tribunal Timbang Tara yang bersidang di London.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, kerajaan Malaysia mempunyai asas kes yang kukuh untuk mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi London kerana award persetujuan itu didakwanya diperoleh secara penipuan dengan cara yang bertentangan polisi umum.

“Sukacitanya kami melaporkan bahawa permohonan itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi London hari ini (Selasa).

“Malaysia akan menuntut bahawa akibat penipuan tersebut, kita dibebaskan daripada sebarang tanggungan untuk membayar baki AS$4.32 bilion kepada IPIC atau Aabar di bawah award persetujuan.

“Dan tambahan daripada ini kita mempunyai hak mendapatkan semula AS$1.46 bilion yang telah dibayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Thomas,  permohonan itu juga berkaitan dengan pengetahuan IPIC dan Aabar Investments OJS akan tuduhan yang serius yang telah dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap mantan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan tenaga penggerak dan pembuat keputusan utama di dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, pengetahuan mereka yang diperoleh antara lain tidak terkemudian daripada masa sidang media DOJ oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch pada Julai 2016 yang mengumumkan pemfailan beberapa guaman sivil membekukan aset yang dibeli oleh penipu menggunakan hasil yang dicuri.

Justeru Tommy berkata, tuduhan berat dan terperinci dalam dokumen-dokumen mahkamah DOJ itu mendapat publisiti global termasuk dalam media politik dan perniagaan.

Malah dalam hal berkaitan Najib turut dikenalpasti sebagai Malaysian Official One (MO1) dalam pliding DOJ.

“Mana-mana pembaca yang rasional yang membaca dokumen-dokumen tersebut serta merta akan menyedari peranan utama dia (Najib) menipu 1MDB untuk manfaat diri sendiri, anak tirinya dan Jho Low.

“Dalam keadaan ini, Malaysia mengambil pendirian bahawa IPIC dan Aabar sedar akan penipuan Najib dan sebarang sistem perundangan akan mendapati Najib tidka mungkin bertindak demi kepentingann terbaik negara dan syarikatnya.

“Pada hakikatnya, dia tidak bertindak demikian dan penipuan merupakan asas mantap untuk mencabar awar persetujuan atas sebab sebab polisi umum,” ujar beliau.

Dalam kenyataan sama, Tommy menjelaskan timbang tara itu dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Timbang Tara Antarabangsa Mahkamah London adalah melibatkan IPIC dan Aabar Investment PJS selaku pihak menuntut dengan 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan selaku pihak-pihak responden.

Di bawah Award Persetujuan itu, Malaysia menanggung bayaran AS$5.78 bilion kepada IPIC dan pemegang amanah bon bagi tempoh lima tahun.

Setakat ini,  sejumlah AS1.46 bilion telah didibayar dan bakinya AS$4.32 bilion dengan bayaran faedah seterusnya sebanyak AS$50 juta perlu dibayar pada 11 November 2018.

Menurut Tommy, pembayaran faedah serupa perlu dibayar secara berkala sehingga April 2022 dan pembayaran akhir secara sekali gus sebanyak AS$1.8 bilion setiap satunya yang merupakan jumlah pokok dan faedah perlu dibayar pada Mei dan Oktober 2022.- MalaysiaGazette