Akbar Ali
Pemerhati Ekonomi, Datuk Akbar Ali bercakap pada Sidang Meja Bulat MPM mengenai Kajian Separuh Penggal RMK-11 di Wisma Majlis Perungingan Melayu, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu takut untuk melaksanakan Cukai Keuntungan Modal meskipun pasaran saham tempatan masih belum begitu kukuh.

Pemerhati ekonomi, Datuk Akbar Ali berkata, pelabur sebenar tidak akan lari daripada pasaran saham walaupun Cukai Keuntungan Modal diperkenalkan.

Sekiranya berlaku pengaliran keluar modal katanya, ia adalah tindakan spekulator dan bersifat sementara.

Tambah beliau, kerajaan patut mengambil contoh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain di dalam pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal yang mana tetap menjadi pilihan pelabur walaupun telah melaksanakan cukai tersebut sejak sekian lama.

“Antara cukai-cukai baharu yang saya rasa wajar diperkenalkan adalah Cukai Keuntungan Modal kerana selama ini, para pelabur tidak pernah dikenakan apa-apa cukai oleh kerajaan sedangkan di peringkat lain, semua orang kena cukai.

“Kalau tengok pada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), golongan miskin pun kena cukai manakala Cukai Warisan Harta pula saya berpendapat, ia tidak akan memberi terlalu banyak perolehan kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Randau Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di sini hari ini.

Namun begitu, Akbar meramalkan kerajaan Pakatan Harapan yang kali pertama membentangkan Belanjawan 2019 Jumaat ini tidak akan memperkenalkan sebarang cukai baharu kerana mempunyai masa yang terlalu suntuk untuk melakukan kajian dan sebagainya.

“Mungkin semasa pembentangan Belanjawan 2019 nanti, kerajaan akan mengenakan cukai-cukai sin tax sahaja atau mungkin Cukai Soda dan sebagainya kerana ia lebih mudah serta tidak memberi impak kepada pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan akan terus mengurangkan perbelanjaan dalam projek-projek mega kerana lambat memberi pulangan kepada negara sedangkan ketika ini keadaan kewangan kerajaan sangat terhad. – MalaysiaGazette