Lion Air
Serpihan dan barangan penumpang pesawat Lion Air yang terhempas semalam ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat.

JAKARTA – Pesaat Boeing, B737 Max 8 milik Lion Air yang terhempas semalam menghadapi masalah teknikal pada penerbangan sebelumnya, termasuk ‘kelajuan tidak menentu’, kata seorang pegawai jawatankuasa keselamatan pengangkutan nasional Indonesia hari ini.

“Terdapat isu teknikal, salah satu daripadanya ialah kelajuan tidak menentu,” kata Timbalan Ketua jawatankuasa itu, Haryo Satmiko pada sidang media yang merujuk kepada masalah yang dihadapi semasa penerbangan dari Denpasar, Bali ke Jakarta pada Ahad lalu.

“Punca kemalangan masih lagi disiasat dan ia menjadikan kami semua tertanya tanya apa yang menyebabkannya,” tambah beliau seperti dilapor Reuter.

Katanya, jawatankuasa tersebut telah merakamkan perbualan antara juruterbang penerbangan JT610 yang membawa 189 penumpang itu dengan menara kawalan udara di Jakarta sebelum ia terhempas dan maklumat daripada orang ramai termasuk ulasan pada media sosial.

“Kami juga mencari maklumat daripada juruterbang yang mengendalikan penerbangan dari Dempasar ke Jakarta, namun kami belum bertemu dengan juruteknik,” katanya yang merujuk kepada juruteknik yang mengendalikan pesawat antara dua penerbangan itu. – Agensi